CHINA – Eksport nanas negara dijangka akan meningkat dua kali ganda kepada RM320 juta setahun menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkembangan itu berikutan kejayaan produk tersebut menembusi pasaran negara China diiringi keupayaan industri untuk menambah kapasiti penanaman dan pemprosesan.

“Kebenaran eksport ini mencerminkan keyakinan negara China terhadap mutu hasil pertanian kita, sama ada dari segi kebersihannya, keselamatannya, mahu pun keenakannya,” kata Ahmad Shabery.

Terdahulu, pintu pasaran China berjaya dibuka untuk produk nanas Malaysia apabila kedua-dua negara menandatangani satu Protokol Keperluan Fitosanitasi (Protocol on Phytosanitary Requirement for the Export of Pineapples from Malaysia to China) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, untuk permulaan susulan daripada kebenaran ini, industri nanas kita telah mempunyai keupayaan untuk mengeksport 12,000 tan metrik dengan nilai RM40 juta dalam tempoh setahun ke China, daripada dua ladang yang telah diluluskan berdasarkan kepada protokol yang telah ditandatangani.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat kerana banyak lagi pengusaha telah menyatakan minat untuk menghantar produk mereka ke negara ini bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” jelas Ahmad Shabery.

Selain ke China, Malaysia juga mengeksport nanas ke beberapa negara lain seperti Singapura, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat dan Jepun. Eksport nanas Malaysia ke negara-negara tersebut pada masa ini dianggarkan bernilai RM160 juta setahun.

“Dengan terbukanya pasaran China ini, kita mensasarkan jumlah ekport nanas negara akan naik dua kali ganda kepada RM320 juta menjelang 2020. Ini seterusnya akan membantu memperbaiki imbangan dagangan sektor agromakanan negara.

“Saya menyeru pengusaha nanas tempatan untuk merebut peluang pasaran ini dengan menambahkan lagi keupayaan pengeluaran mereka bagi menampung permintaan daripada pasaran China.

“Adalah penting juga bagi mereka untuk sentiasa mengekalkan pematuhan kepada standard-standard antarabangsa, supaya produk kita terus berdaya saing di peringkat global. Ini juga adalah masa terbaik untuk mereka yang berminat menceburi bidang penanaman nanas,” katanya lagi.

Pada tahun 2016, eksport agromakanan Malaysia ke China adalah bernilai RM2.37 bilion, termasuk produk seperti makanan yang diproses, bijirin, makanan laut, serta kopi, teh, koko dan rempah.

Import barangan China ke Malaysia pula bernilai RM5.95 bilion, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan yang diproses.

Taken from http://www.sinarharian.com.my/nasional/nanas-malaysia-tembusi-pasaran-china-1.674123

Categories: News

0 Comments

Leave a Reply

Avatar placeholder

Your email address will not be published. Required fields are marked *