MUKAH: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai pengeluar utama nanas negara, tidak hanya bagi menampung keperluan domestik, bahkan untuk pasaran eksport komoditi itu.

Ia secara tidak langsung menyumbang kepada usaha memperkukuhkan ekonomi negeri, selain membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya usahawan tani.

Malah, sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi inisiatif penanaman nanas komersial di Hab Halal Tanjung Manis, di sini yang diusahakan Saramanis Sdn Bhd dan dijangka mengeluarkan tuaian pertamanya, Mac depan.

Pengarah Eksekutif Saramanis, Jason Jong, berkata nanas ditanam di ladang itu adalah dari baka terpilih seperti MD2, Josapine, N36 dan Paun.

“Kita mengusahakan ladang ini kerana yakin dengan potensi Tanjung Manis, selain menyahut saranan kerajaan untuk mentransformasikan pertanian kepada sektor moden, berdaya saing dan mapan selain mampu menjana pendapatan tinggi.

“Setakat ini, pelaksanaan projek berjalan lancar dan kita menjangkakan perjanjian eksport nanas ke Hong Kong dapat direalisasikan September nanti,” katanya.

Beliau sebelum itu mengiringi lawatan kerja Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke ladang berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Hashim Bojet.

Jason berkata, syarikatnya juga berhasrat menceburi industri hiliran berasakan nanas, selain menggalakkan penyertaan penduduk setempat melalui program ladang kontrak.

Source : – https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/01/523424/sarawak-sasar-jadi-pengeluar-utama-nanas-negara

Categories: News

0 Comments

Leave a Reply

Avatar placeholder

Your email address will not be published. Required fields are marked *